Hi and Assalamualaikum !
Coretan hari ini berkisarkan tentang pandemik. Rahsia di sebalik pandemik. Just my random thoughts malam-malam ni. So, I think it will be nice to share it here.
Tika ini, pandemik masih melanda negara kita. Kita semua, masih diminta untuk kekal berada di rumah masing-masing. Namun, tak semua berada di rumah dengan keadaan yang sama, bilangan ahli keluarga yang sama, ketenangan dan situasi yang sama. Kalau nak dibincangkan soal kesusahan, setiap orang ada mengalami masalah dan kesulitan yang berbeza dalam kehidupan masing-masing. Indah di mata kita , tak semestinya indah di mata orang lain. Setahun lebih sudah pun berlalu, dan dalam tempoh itu juga, telah berlalu satu zaman belajar ku iaitu zaman asasi. Alhamdulillah.
Melihatkan pada tarikh hari ini, 21 Jun 2021 membuatkan aku terdetik dan terfikir sejenak. Indah sungguh tarikh pada hari ini. Seandainya tiada pandemik, pasti ramai pasangan yang telah berniat dan merancang untuk berkahwin mahupun bertunang pada hari ini. Tak lupa juga , pasti akan ada yang sibuk membuat persiapa untuk menyambut ulang tahun kelahiran insan tersayang. Maka, aku terfikir. Pasti kasihan mereka. Segala yang dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan lancar. Bukan setakat perlu ditangguh, malah mungkin kos-kos telah banyak dihabiskan.
Pada waktu pandemik masih berlangsung, ada yang baru sahaja lahir ke dunia, ada yang baru di zaman tadika, zaman sekolah rendah, zaman sekolah menengah, zaman universiti, zaman kerja, zaman bercinta, zaman menuju perkahwinan, zaman berkahwin, zaman berkeluarga, zaman pencen dan sebagainya. Setiap zaman itu, ada manisnya, ada pahitnya. Ada sukanya ada dukanya. Akan ada episod ketawa, juga tak dilupa episod menangis. Rencah kehidupan sudah pasti. Kalau hendak dibanding siapalah yang paling terbuang zamannya, tidak akan menemui titik noktahnya. Oleh kerana itu, detikan hati membuatkan aku berfikir tentang keadaanku.
Aku berada di zaman aku masih muda, masih baru melihat dunia luar, zaman universiti. Pada usiaku sekarang, sekiranya tiada pandemik, pasti majoritinya akan meluangkan kebanyakan masa bersama kawan-kawan, meneroka dunia baru sebagai mahasiswa di menara gading. Pelbagai perkara baru ditemui dan ingin dicuba. Sebanyak mungkin pengalaman manis ingin dicipta agar dapat dikenang suatu masa nanti. Tak lupa juga, pasti akan ada yang mula untuk mencari pasangan sementara seperti boyfriend mahupun girlfriend. Keinginan dan fitrah remaja untuk menyayangi dan disayangi semstinya tidak dapat disangkal dan dinafikan.
Gelora kemahuan untuk mempunyai seseorang yang istimewa pastinya akan hadir dalam hati mana-mana insan, termasuklah aku. Namun, setelah aku fikirkan , aku lebih mengucap syukur atas apa yang berlaku. Pada waktu pandemik, aku banyak meluangkan masa bersama ibuku, keluarga dan adik-beradikku. Sekiranya hidup normal, pastinya kami semua terpisah dan sukar untuk meluangkan masa bersama dek kerana komitmen masing-masing dan tuntutan belajar. Semuanya terpisah oleh sempadan negeri. Namun, pandemik ini juga telah merapatkan ukhuwah dan tali kasih sayang aku bersama kakak-kakakku. Begitu juga dengan adikku.
Kami banyak berkongsi cerita dan rasa , meluah rasa dan bahagia, juga terselit ketawa dan bahagia. Momen-momen manis yang terlakar ini pasti akan aku kenang dan rindui apabila keadaan menjadi normal kembali nanti. Antara kelebihan yang aku dapat, mungkin Allah ingin menyelamatkan aku daripada godaan dunia. Maksud aku, tentang pasangan sementara. Tiada jaminan bahawa seseorang yang kita jalinkan hubungan di menara gading akan menjadi pasangan sejati kita hingga ke akhir hayat. Kemungkinan untuk mengalami perpisahan dan kekecewaan juga tinggi.Oleh itu, Allah selamatkan aku daripada mengenali lebih ramai lelaki di universitiku. Meskipun tempoh asasiku tidaklah terlalu lama, namun aku cuma mengenali rakan-rakan sekelasku dan juga rakan-rakan yang sama sekolah denganku dulu.
Aku yakin Allah tahu, mungkin aku senang berharap dan mudah perasan. Maka, dijauhkan aku daripada situasi yang boleh membawa kemudaratan kepadaku. Pasti akan ada takdir yang lebih indah untukku pada masa depan. Mungkin juga selari dengan doa-doaku tentang pasangan idamanku, maka Allah aturkan kehidupan aku untuk memenuhi semua impian aku. Mungkin pasangan sejatiku bukanlah daripada kalangan mereka yang ada di dekatku sekarang, atau mungkin juga belum masa yang sesuai? Aku yakin perancanganNya lebih indah, pasti. In Shaa Allah.
Kakakku pernah berkata, tak perlu risau andai aku kehilangan pengalaman untuk berkawan mahupun pengalaman untuk merasai situasi belajar di universiti, sebaliknya teruskan melangkah ke depan dan bina pengalaman baru semasa zaman kerja. Ya, betul juga. Kata-kata itu berjaya mengurangkan keresahanku tentang apa yang aku selalu fikirkan. Terima kasih untuk kata-kata itu. Sekurangnya , aku masih banyak masa untuk mencipta pengalaman dan mencuba perkara baru. Aku bersyukur, alhamdulillah. Andai pada zaman kerja, juga ada cabarannya. Zaman untuk menuju perkahwinan juga.
Jujurnya, aku pun merasakan aku belum bersedia untuk semua komitmen itu. Seringkali aku lihat , ramai remaja yang usia hampir denganku mengalami tekanan hidup, kekecewaan disebabkan percintaan yang tidak kesampaian. Terputus di tengah jalan. Aku bersyukur kerana aku tidak pernah mengalaminya dan aku tidak mahu mengalaminya andai diizinkan Allah. Aku mungkin belum faham bagaimana perasaan apabila dicintai seseorang, disayangi seseorang yang berlainan jantina. Tapi, suatu hari nanti pasti akan tiba juga. Jadi, tak mengapalah andai kita tidak dapat seperti mana keadaan yang orang lain dapat. Mungkin mempunyai boyfriend itu lebih meletihkan emosi dan jiwanya, siapa tahu?
Media sosial tak mampu menyingkapkan apa yang tersembunyi di balik hati. Mungkin yang masih sendiri berjuang untuk belajar , meluangkan masa bersama keluarga dan terus mencapai cita-cita lebih bahagia daripada mereka yang sibuk mencari cinta sementara yang tiada jaminan ? Syukurlah walau di mana zamanmu sekarang, kerana Allah lebih Mengetahui apa yang terbaik untukmu. Allah telah mengatur jalan hidupnya lebih indah untuk masa depanmu, malah mungkin tak terbayang dan tak terduga olehmu. Yakinlah, dengan izinNya. Aminn.
Akhir kata, selamilah ke arah hikmah yang positif dan lihatlah dari sudut positif akan apa jua takdir yang sedang kita lalui. Walaupun pandemik menghentikan pelbagai kebebasan dan ruang hidup kita selama ini, namun jangan terus dipadam sisi baiknya buat diri kita. Aku yakin, pasti kamu akan temui kebaikan yang selama ini kamu tidak sedar. Bukan hanya aku, tapi juga kamu. Teruslah tersenyum menjalani hari-harimu dengan semangat yang baru. Hargailah kehadiran insan-insan tersayang di sekelilingmu kini dan syukurilah setiap nikmat TuhanMu yang tak terhitung banyaknya. Semoga kita semua akan bertemu di SyurgaNya atas keredhaanNya. Assalamualaikum.
Yang ikhlas,
NIA.
Comments
Post a Comment